Panduan Keselamatan Bagi Wanita Yang Ingin Melancong
Tip-tip atau panduan keselamatan ketika melancong ini adalah bagi wanita yang ingin melancong secara bersendirian atau melancong bersama rakan-rakan wanita.
1. Kaji tempat, masyarakat dan suasana yang ingin dituju
Sebelum membuat sebarang keputusan untuk melancong atau bercuti di sesuatu negara atau tempat, adalah langkah yang bijak jika anda mengkaji terlebih dahulu tempat yang ingin dituju itu, ini termasuklah latar belakang masyarakat, keadaan kawasan, isu-isu semasa di sana dan kes-kes yang pernah berlaku di sana. Dapatkan sebanyak mungkin maklumat agar anda lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
2. Tinggalkan barang-barang yang berharga.
Jangan menunjukkan anda seorang yang mewah atau senang. Jika boleh, tinggalkan barang-barang berharga. Jika terpaksa membawa juga barang-barang berharga, simpan di tempat yang selamat. Amalkan sifat merendah diri.
3. Belajar asas mempertahankan diri.
Adalah satu langkah yang bijak bagi wanita jika belajar asas-asas mempertahankan diri. Malang tidak berbau.
4. Berhati-hati dengan orang yang anda temui.
Jangan mudah menerima pelawaan orang yang tidak dikenali untuk menumpangkan anda ke destinasi yang anda ingin tuju. Jangan mudah menerima minuman atau makanan daripada orang yang tidak dikenali. Yang paling penting dengan sesiapa anda bertemu dan berbual, simpan sedikit rasa ragu terhadap mereka dan jangan begitu mudah mempercayai orang lain.
5. Carilah tempat penginapan yang selamat
Tempah tempat penginapan terlebih dahulu sebelum memulakan percutian. Ianya akan memudahkan anda bila tiba dike destinasi yang ingin dituju, selain itu anda dapat membuat kajian bagaimana keadaan tempat penginapan itu menerusi ulasan daripada pelancong lain yang pernah menginap di situ. Anda dapat menilai jika tempat itu sesuai, selesa, selamat atau tidak. Pastikan anda memilih tempat penginapan yang terletak di kawasan tumpuan ramai.
Catat Ulasan