Tanda-Tanda Demam Denggi
Denggi berpunca daripada 4 virus yang berkait rapat iaitu DEN-1, DEN-2, DEN-3 atau DEN-4. Denggi merebak kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang telah dijangkiti virus denggi. 2 jenis denggi yang berbahaya adalah Demam Denggi Berdarah (DHF) dan Sindrom Renjat Denggi (DSS).
Apakah simptom atau tanda demam denggi?
Tanda demam denggi adalah berbeza mengikut usia pesakit. Tanda-tanda demam denggi yang utama adalah demam panas, sakit kepala yang teruk, sakit belakang, sakit sendi, rasa loya dan muntah, sakit mata dan ruam.
Bagi bayi dan kanak-kanak kecil, mereka mungkin mengalami ruam dan demam. Kesakitan bagi bayi dan anak-anak kecil agak kurang jikan dibandingkan dengan kanak-kanak yang lebih besar dan orang dewasa.
Tanda Demam Denggi Berdarah (DHF) dan Sindrom Renjat Denggi (DSS)
Kedua-dua jenis demam denggi ini boleh dikesan apabila mengalami demam secara tiba-tiba setinggi 40-41ÂșC. Demam ini akan berlarutan selama 2 hingga 7 hari kemudian diikuti pendarahan pada hidung dan gusi serta berkemungkinan pendarahan dalaman.
Pada fasa awal serangan denggi, untuk membezakan DHF/DSS daripada demam denggi atau penyakit disebabkan virus yang lain adalah sukar. Peringkat kritikal DHF/DSS biasanya terjadi paling kerap, 24 jam selepas suhu badan turun atau di bawah paras normal. Demam Denggi Berdarah yang tidak dirawat boleh membawa kepada Sindrom Renjat Denggi.
Bagi penghidap DHF/DSS yang teruk, demam dan tanda atau simptom yang tidak khusus akan berlaku selama beberapa hari. Ini akan diikuti kesihatan yang merosot secara tiba-tiba. Pesakit akan kelihatan tidak bermaya dan mudah resah.
Antara tanda-tanda kegagalan peredaran darah :
• tekanan darah yang rendah
• denyutan nadi yang laju tetapi lemah
• sakit perut yang teramat
• kulit berlengas dan sejuk serta kelihatan resah
Tanda-tanda pendarahan adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, gusi, hidung serta gastro-usus berdarah dan kadang kala aliran haid yang berlebihan. Kerap mengalami sakit perut yang teruk, sejurus sebelum serangan renjatan.
Jika anda mengalami tanda-tanda demam denggi, segeralah berjumpa dengan pakar perubatan agar rawatan dapat dilakukan.
[Lagi info kesihatan - Petua Memperbanyakkan Susu Ibu]
Catat Ulasan