Cara Jimat Minyak Kereta
Entri kali ini adalah cara-cara untuk jimatkan petrol kereta atau kenderaan anda. Sebenarnya ada beberapa perkara yang sering kita amalkan yang menjadi penyebab kepada pembaziran petrol kenderaan. Di sini dikongsikan beberapa tip atau cara mudah untuk jimat minyak kereta.
1. Memanaskan enjin kereta
Setiap pemilik kereta pasti sedia maklum, sejak dari dulu lagi kita digalakkan untuk memanaskan enjin kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Tetapi, sedarkah anda ini merupakan salah satu faktor pembaziran petrol. Zaman telah berubah, teknologi semakin maju, begitu juga dengan kereta pada zaman moden ini. Tahukah anda bahawa kereta pada zaman ini telah direka agar enjin tidak memerlukan pemanasan yang terlalu lama. Kereta pada zaman ini hanya memerlukan 30 saat sahaja untuk enjin beroperasi secara optimum.
2. Waktu yang sesuai untuk mengisi petrol
Waktu yang terbaik untuk mengisi petrol kenderaan anda adalah pada waktu pagi atau malam. Pada hakikatnya, kuantiti liter petrol tetap tidak berubah tetapi pada cuaca yang sejuk seperti waktu pagi atau malam, kepekatan petrol bertambah kerana petrol tidak meruap pada waktu ini. Ini sekaligus memberi kereta anda kuasa yang lebih bagi setiap kilometer perjalanan. Adalah disyorkan waktu yang sesuai untuk mengisi minyak kereta anda adalah pada waktu pagi atau malam.
3. Kelajuan Kereta
Sebenarnya kelajuan kereta juga memainkan peranan bagi jimat minyak kereta. Kelajuan maksimum yang disarankan adalah 90 km/j. Tahukah anda bahawa kereta yang dipandu di bawah kelajuan 90 km/j dapat menjimatkan 10% daripada penggunaan petrol kereta.
4. Tekanan angin tayar
Untuk kenderaan yang memiliki tayar baru, adalah disyorkan agar anda memeriksa tekanan angin tayar sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tayar baru biasanya mampu mengekalkan keadaan angin lebih lama berbanding tayar lama. Pastikan tahap tekanan angin yang sepatutnya untuk tayar anda. Pada umumnya tekanan angin untuk tayar hadapan adalah 210 kpa dan tayar belakang 200 kpa. Maklumat mengenai tahap tekanan angin kereta anda terdapat pada pelekat di bahagian pintu.
5. Tukar minyak enjin.
Kereta yang sentiasa menukar minyak enjin (minyak hitam) mengikut jadual dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh enjin. Pengaliran minyak enjin yang lancar dapat mengurangkan beban pada enjin seterusnya dapat menjimatkan petrol.
6. Penggunaan penghawa dingin (aircond)
Aircond berfungsi daripada kompressor yang beroperasi di bahagian enjin. Penggunaan aircond akan memberi beban kepada enjin dan menyebabkan penggunaan petrol yang lebih. Disebabkan cuaca di negara kita yang panas, penggunaan aircond tidak dapat dielakkan. Jadi, cara bagi menjimatkan petrol ketika menggunakan aircond ialah tutup aircond apabila beberapa minit hampir ke destinasi anda. Suhu aircond masih mampu bertahan sehingga anda sampai ke destinasi. Jadikan ini amalan dan anda akan dapat lihat hasilnya.
7. Tingkap kereta.
Tentu anda tertanya-tanya apa kena mengena tingkap kereta dan petrol. Sebenarnya setiap bentuk kereta direka berbentuk aerodinamik agar pergeseran udara dan badan kereta dapat dikurangkan. Jika anda membuat keputusan untuk membuka tingkap dan menutup aircond, adalah disyorkan agar anda tidak membuka tingkap dengan sepenuhnya. Ini kerana angin yang masuk melalui tingkap kereta yang terbuka akan memberi beban yang lebih kepada kereta anda, seterusnya meningkatkan penggunaan petrol.
8. Rancang perjalanan anda.
Rancanglah perjalanan anda terutamanya sebelum membuat perjalanan yang melibatkan jarak yang jauh. Perjalanan yang dirancang terlebih dahulu mampu mengelakkan kesesakan lalu lintas. Jalanraya yang sesak menyebabkan anda menggunakan brek yang banyak sekali gus akan meningkatkan penggunaan petrol.
Di atas merupakan beberapa tip atau cara jimat minyak kereta yang dapat anda lakukan.
Dipetik dan diolah dari rahsiakereta.com
Catat Ulasan