Tip Penjagaan Rambut Bagi Wanita Bertudung
Walaupun bertudung, sudah semestinya wanita yang bertudung juga mementingkan kecantikan dan kesihatan rambut mereka. Di sini dikongsikan beberapa tip penjagaan rambut bagi wanita yang bertudung
1. Pastikan rambut anda betul-betul kering sebelum memakai tudung. Cuci rambut pada sebelah petang atau malam, atau bagi yang bekerja shift, cucilah rambut selepas pulang dari kerja. Biarkan rambut anda kering secara semula jadi, biarkan rambut lepas bebas dan elakkan dari membungkus rambut dengan tuala. Jika anda mencuci rambut sebelum ke tempat kerja, pastikan mencucinya lebih awal. Biarkan rambut betul-betul kering atau gunakan pengering rambut sebelum mengenakan tudung. Tetapi ingat, jika menggunakan pengering rambut, gunakan suhu yang sesuai. Elakkan mengikat rambut ketika rambut masih basah.
2. Jenis kain tudung juga memainkan peranan. Pilihlah tudung yang dibuat daripada kain yang lembut. Jangan sesekali memilih tudung yan dibuat dari kain kapas kerana ia cepat memerangkap haba dan menyebabkan kulit kepala cepat berpeluh. Jika boleh, elakkan memakai serkup kepala.
3. Biarkan rambut dan kepala anda berehat. Sebaik sahaja sampai di rumah, bukalah tudung anda. Biarkan kulit kepala anda mendapat udara. Buka ikatan rambut dan rehat seketika agar peluh di kulit kepala kering dan angin dapat meresap ke seluruh kulit kepala. Jangan biarkan rambut terus bertudung atau jangan pula terus mandi sebaik sahaja sampai di rumah.
4. Pilihlah syampu yang bersesuaian. Untuk mendapatkan syampu yang sesuai, anda harus perlu mencuba. Pilihlah syampu yang berasaskan herba dan semula jadi. Elakkan dari menggunakan syampu yang mengandungi banyak bahan kimia. Seboleh-bolehnya gunakan syampu dan perapi berasingan.
Di atas merupakan beberapa tip penjagaan rambut bagi wanita yang bertudung. Ikutilah tip-tip penjagaan rambut di atas agar rambut anda lebih sihat dan menawan.
Catat Ulasan